Oleh Dr. Shamsudin Othman
Setelah melewati tiga puluh hari perjalanan sufi dalam makna penyerahan kudus jiwa raga kepada Yang Maha Pengasih, Maha Pemurah dan Maha segalanya, apakah yang ditunggu-tunggu itu dapat dimiliki sepenuhnya?
Keinginan tanpa batas manusia yang dimutawatirkan secara alami itu merupakan satu tragedi peperangan nafsu yang sukar dibendung gelodak musuh apatah lagi godaan berahinya terhadap makanan, syawat dan ibadah.
Manusia yang selama ini diarifi sebagai makhluk yang bertindak dengan akal budi akan sentiasa berwaspada ketika membuat pilihan. Inilah ketentuan vartikal yang sering bercakaran dalam tiga unsur zat kemenjadian manusia, iaitu iman, nafsu dan akal. Andai, kerakusan nafsu mungkin sudah terpasung ketika Ramadan tetapi bagaimana dengan iman dan akal? Adakah dapat diladeni dengan sebaiknya ketika manusia sedang meniti hari-hari dalam perjalanan mencari kemenangan menuju lebaran?
Tentunya ketiga-tiganya unsur yang dimaksudkan itu sebenarnya sedang bertarung mempertahankan wilayah rohani yang cuba dirasuki oleh para iblis makhluk sumpahan Tuhan yang sememangnya tidak pernah mengenal erti putus asa mengoda imansipasi manusia. Oleh itu, cabaran mempertahankan godaan itu pada hakikat mutlak adalah sangat bergantung kepada kebijaksanaan iman dan akal merancang strategi mempertahankan diri daripada tipu daya para iblis yang ditakdirkan Tuhan akan hidup sehingga kiamat.
Manusia perlu memasuki alam insaniah jika ingin menikmati kebahagiaan syurgawi seperti yang digagaskan dalam pengertian lebaran (aidilfitri). Perkataan aidilfitri yang difahami sebagai kembali atau pulang kepada fitrah (asal), iaitu dirujuk kepada fitrah manusia yang lahir dalam keadaan suci dan bersih dari noda dan dosa. Dalam konteks Melayu, kembali ini dimesrai dengan panggilan hari raya atau hari kebesaran meraikan kejayaan melepasi ujian melawan godaan iblis.
Konsep hari raya dalam falasah Melayu (Islam) jelas menunjukkan bahawa hari raya adalah perayaan keagamaan. Hal ini bermakna, jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu merupakan satu ibadat yang wajib dilaksanakan. Oleh itu, maka terjawablah mengapa Tuhan menganugerahkan satu hari untuk umat Islam meraikan kejayaan daripada kemenangan tersebut.
Sejarah hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa tersebut, iaitu perayaan yang telah diwarisi secara turun-temurun daripada datuk nenek mereka terdahulu. Mendengarkan kisah itu, lalu Rasulullah SAW telah menyatakan kepada masyarakat Arab Madinah bahawa Islam telah menggantikan dua hari raya yang diraikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan Hari Raya Fitrah (Aidilfitri). Justeru, hari raya yang diyakini sebagai perayaan keagamaan, maka cara meraikannya perlulah mengikut adab dan peraturan ibadat, iaitu dengan memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir, bertahmid dan menghidupkan ukhuwah dengan kunjung mengunjung dalam kalangan saudara mara dan sahabat handai sebagai lambang kejayaan dan kesyukuran.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani daripada Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: “Sesiapa yang menghidupkan malam aidilfitri dan aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari Kiamat.”
Perlu diingat bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya berlebih-lebih atau melampaui batas dalam menyambut perayaan hari raya. Islam menegah umatnya melakukan pembaziran seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya pada hari kebesaran dengan pakaian yang mahal dan kuih-muih melampaui tuntutan nafsu.
Hakikat sebenar kita menikmati perayaan hari raya (hari kemenangan) adalah dengan menginsafi diri. Sejauh manakah potensi manusia (quwwah insaniyyah) dapat mendefinasikan kemenjadian kita sebagai seorang insan. Kita perlu merenung ke dalam perjanjian mencitai keadilan dan membenci kezaliman. Zakat misalnya satu kewajiban kepada kita mengeluarkan sebahagian daripada nikmat kemewahan harta untuk dikongsikan kepada insan yang sangat memerlukan dan untuk sama-sama merasai kegembiraan. Inilah hakikat perkongsian rasa terhadap bagaimana insan itu menzahirkan hari kemenangannya.
Namun fitrah inilah juga yang cuba dihakis dalam kerangka humanisme yang didokong tamadun barat hari ini. Pada falsafah barat moden, ia bermula dengan penerapan idea ‘tabula rasa‘ (blank state) oleh John Locke pada kurun 17 yang meletakkan manusia itu dalam keadaan kosong tanpa ada sebarang asas pengetahuan atau kehendak. Ia secara tidak langsung telah menafikan fitrah insan yang sudah ditetapkan oleh Tuhan pada konsep penciptaan manusia.
Penafian fitrah hakikat insan itu berkembang sehingga menyusup ke dalam segala falsafah barat lainnya sama ada menafikan tuhan (atheism), menafikan tiada kebenaran pasti (subjectivism) sehingga segala kehendak hawa nafsu manusia dilihat sah seperti menghalalkan kebejatan demi kelangsungan hidup.
Tuhan dan agama dilihat hanya berbentuk tradisi (lawan modernism), iaitu ciptaan biasa yang tidak dapat memberikan jawaban rahsia alam dan kejadian baik buruk hanyalah sekadar budaya ciptaan manusia atas keperluan zaman. Pemikiran ini menjadikan kesemua hal ini boleh dirungkai (dekonstruktifisme) apabila tidak lagi dilihat releven kerana tiadanya asas fitrah pada insan. Hal ini sangat mengelirukan kerana pertembungan kefahaman ini menyebabkan pengertian hari raya sering tersasar daripada tafsiran agama mahupun budaya.
Hilangnya fitrah ini akhirnya telah melahirkan suatu kelompok atau tamadun manusia yang kejam malah langsung hilang pertimbangan kemanusiaan. Perisiwa inilah yang sedang kita saksikan di tanah suci Al-Aqsa, bila mana pada saat ini kita meraikan hari kemenangan melawan nasfu duniawi tetapi di sana (Palestina) kemenangan yang dicari masih belum ditemui walau telah puluhan tahun mereka berpuasa dan berdoa. Para mujahdin (pejuang) itu melihat peperangan adalah fitrah dalam bentuk kemenangan hari raya yang lain. Ya, sama sekali lain dengan apa yang kita nikmati di sini.
Peradaban Islam yang berdiri di atas fitrah perlu kembali didaulatkan bagi meruntuhkan tamadun Taghut yang berdiri atas kezaliman dan kesesatan peradaban dalam membina negara bertamadun.
Di sinilah perlunya kita umat Islam kembali mengangkat pengertian wacana fitrah di dalam kerangka epistemologi peradaban Islam yang lebih luas. Manusia perlu dikembalikan kepada hak khalifah asalnya, iaitu makhluk insaniyyah yang dapat memberikan hal-hal ‘kemuliaan’ kemanusiaan yang bertanggungjawab memakmurkan alam ini.
Telah sampai waktunya kita menyoroti konsep dan falsafah hari raya menurut perspektif agama. Menikmati hari kemenangan dan kemerdekaan adalah menikmati kejayaan melawan hawa nafsu merdeka yang dibelenggu para iblis. Kembali kepada fitrah adalah manifestasi sebenar menyucikan dosa dan menginsafi diri kesan daripada madrasah Ramadan yang ditempuhi.
Sehubungan dengan itu, menilai konsep berhari raya sepatutnya difahami sebagai satu penentangan kepada kefahaman budaya liberty (yang mengagungkan nilai individualisme dan hak asasi). Fahaman ini bukan dicipta semata-mata untuk mencapai pengertian kebebasan kerana aliran falsafah ini tumbuh ketika manusia ingin mencapai satu kebijaksanaan bertindak yang lebih besar dalam memberikan wajah sebenar kepada kebahagiaan dan kepuasan hidup. Mereka melihat hak individualisme tidak berkaitan dengan keseiringan tuntutan agama yang diturunkan dari langit. Agama yang bertujuan untuk menunjukkan kepada umat (mufakkir) tentang kebahagiaan hakiki dan abadi di akhirat ditolak mentgah-mentah oleh mereka.
Logik akal semata-mata tidak mampu menyimpulkan formula yang terbaik untuk umat manusia menikmati hari raya. Sehebat mana pun seorang itu, paling jauh manusia hanya mampu merumuskan sifir perubahan yang terhad dalam arus zaman dan tempat (bernegara) sahaja. Sebagai contoh, ketika Jerome dan Hus mula mengangkat panji melawan dogmatimse (simbol melawan agama untuk kemajuan tamadun) pada abad ke-18 sehingga menimbulkan huru-hara, sebaliknya umat Islam ketika itu terus maju dan mencapai kemuncak ketamadunan dengan menjadikan agama sebagai teras peradaban disebabkan kejayaan memahami konsep hari raya.
Kesimpulannya, iman dan akal tanpa wahyu akan binasa oleh kelicikan nafsu. Wahyu tanpa kebijaksanan akal adalah sia-sia. Seperti kata Ahmet Davutoglu dalam magnum opusnya bertajuk Alternative Paradigm; The Impact of Islamic Weltanchauungs on Political Theory, iaitu hubungan wahyu-akal ini adalah at-takamul (saling melengkapi) dan bukan at-tadharub (saling bertentangan) ketika manusia berusaha menemukan pengertian hari raya yang sebenar.
Mengakhiri tulisan ini, disertakan sejambak puisi;
Harmoni keluarga kerana ilmunya, Indah budaya kerana adabnya.
Ramadan diibadati Syawal dirai, Moga kemaafan sama diikhlasi.
Ramadan dirindui Syawal dicintai, Terungkap damai bahagia dirasai.
Lebaran mulia nikmat dicari, Berkekalan hajat sama disyukuri.
Salam maaf saya dahului, Berdoa hidup kekal disyukuri..
Shamsudin Othman
Madrasah Sham al-Johori
Salam lebaran 1444H. Maaf zahir dan batin.
SHAMSUDIN OTHMAN___Ketua Jabatan merangkap Pensyarah Kanan di Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Fakukti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia. Beliau penyair yang telah menerima anugerah S.E.A Writte pada tahun 2019. Banyak buku dan penulisan ilmiahnya telah diterbitkan dalam pelbagai media. Kini seorang musafir yang sedang mencari keberkatan ilmu daripada yang Maha Pencipta juga penimba ilmu dalam perkongsian idea di Nusantara dan beberapa negara Eropah mahu dunia Timur.