June 13, 2025
Z

Dr. Zulkifli Khair, pembicara dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia. (F: dok. PPJ)

Pembangunan Bakat Bersepadu dan Peranan Persuratan dalam Memperkasakannya

Oleh Dr. Zulkifli Khair (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia)

Makalah ini disampaikan dalam DIALOG SELAT TEBRAU: Pemartabatan Persuratan Melayu Dalam Zon Ekonomi”, bertempat di Dewan RISDA Negeri Johor, Johor Bahru, Malaysia pada tanggal 24 Mei 2025.

 

1.0 PENGENALAN

Dalam apa jua bentuk pembangunan negara dan peradaban, pembangunan bakat atau sumber manusia (HR, human resources) adalah suatu yang penting. Dalam pembangunan ekonomi, bakat diperlukan bagi memenuhi pasaran kerja. Ia tidak terhad kepada kompetensi berkaitan kerja, bahkan perlukan bakat yang bersahsiah. Justeru, pembinaan bakat yang bersepadu diperlukan demi membina negara. Sebaliknya, bakat yang korup misalnya hanya membinasakan negara sebagaimana yang berlaku sejarah Yunani, China kuno dan pelbagai tempat (Syed Husein al-Attas, 2022).

Nilai-nilai kemanusiaan termasuk keadilan, integriti dan ‘tidak mudah koyak’ tidak boleh diabaikan. Justeru, dalam konteks Zon Ekonomi seperti Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), penting untuk menerapkan pendekatan yang memanusiakan bakat dan buruh yang menggerakkannya, sebagaimana yang diakuri oleh pendekatan dan falsafah Madani (Pejabat Perdana Menteri, 2023) https://www.pmo.gov.my/ms/membangun-malaysia-madani-2/ .

Artikel ini turut cuba membincangkan hal ini dari dua perspektif. Pertama, kepentingan bakat bersepadu dan peranan persuratan terhadap pembinaannya sebagaimana yang diakui dalam banyak literatur. Kedua, bagaimana  memanfaatkan  tumpuan  sektor  keutamaan  seperti aeroangkasa, elektrikal dan elektronik, kimia, peranti perubatan, dan farmaseutikal serta sektor lain seperti perkhidmatan perniagaan, ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pembuatan, pelancongan, pendidikan, logistik, tenaga, dan keselamatan makanan dalam konteks penyuburan persuratan Melayu khususnya dalam ruang Johor dan Riau.

Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Kekayaan (sebenar) itu bukanlah dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan itu adalah kekayaan jiwa.” Hadis Riwayat al-Bukhari (6446) dan Muslim (1051).

 

2.0 PEMBANGUNAN BAKAT BERSEPADU

Dalam konteks Revolusi Industri era kini, agenda pembinaan bakat tidak boleh begitu fokus kepada aspek STARA (smart technology, artificial intelligence, robotics, and algorithms) (Brougham & Haar, 2018) bahkan perlu mengambil kira ciri-ciri kemanusiaan yang wujud secara fitrah dalam diri manusia itu sendiri. Dalam 1970-an idea idea ‘pembangunan bakat bersepadu’ pernah dirujuk sebagai pembangunan sumber manusia kontemporari (Thite, 2022), sebelum muncul istilah ‘pembangunan sumber manusia mampan’ (SHRM, sustainable human resources management) ciptaan Järlström et al. (2018) yang berasaskan kepada keadilan dan kesaksamaan, amalan HR yang telus, keuntungan, dan kesejahteraan pekerja.

‘Pembangunan manusia holistik’ yang berasaskan falsafah holisme pernah dibicarakan oleh Haynes (2009). Kemudian muncul konsep ‘pembangunan dan pengurusan sumber manusia holistik’ oleh Lapiņ¸a et al. (2013) demi menyokong perniagaan yang mampan lagi berdaya saing. Pembangunan bakat yang holistik memastikan pekerja mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja moden. Ini termasuk kemahiran teknikal, kemahiran komunikasi, kemahiran berfikir secara kritis, dan kemahiran beradaptasi dengan perubahan.

Selain itu, pernah muncul konsep ‘green talent’ oleh John, Chris & Eric (2009) yang merujuk kepada pekerja yang turut menyantuni alam sekitar dengan penuh tanggungjawab.

Pembangunan bakat bersepadu dari perspektif Islam dapat disandarkan kepada sumber-sumber wahyu. Al-Quran menerusi surah 28 ayat 26 misalnya menjelaskan dengan maksud “… sesungguhnya yang terbaik untuk kamu ambil bekerja ialah seorang yang kuat dan boleh dipercayai.” Bakat atau sumber manusia itu perlu kompeten atau cekap di tempat kerja (quwwah) dan boleh dipercayai (amanah) (Ashari, Syam & Budiman, 2017). Kerjaya harus dilihat sebagai medan ibadah dan ada misi untuk pembangunan agama dan umat. Untuk itu, pembangunan bakat perlu bersepadu dari segi pengetahuan (knowledge), kemahiran (skills), dan sikap (attitude) yang lazim dikenali sebagai KSA serta tidak ketinggalan aspek iman dan takwa.

Pembangunan bakat bersepadu hakikatnya berlaku secara berterusan; formal, bukan formal dan tidak formal, bermula sejak sebelum nikah (lihat Ulwan, 2009) termasuk melibatkan pendidikan dan pembangunan (learning and development) di tempat kerja dan dalam komuniti yang membawa kepada pendidikan sepanjang hayat. Persuratan sebagai contoh mampu berperanan (berserta kaedah dan wahana yang lain) di sepanjang proses tersebut sekali gus berupaya berikan sumbangan signifikan terhadap pembangunan sosio-ekonomi setempat.

 

  • PERANAN PERSURATAN

Penulis percaya bahawa dunia persuratan mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan bakat demi pembangunan negara dan serantau yang sejahtera – lihat konsep ‘sejahtera’ oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dalam Abdul Razak (2020). Persuratan bermaksud perihal tulis-menulis, kepustakaan, kesusasteraan, perpustakaan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005). Kini, persuratan wujud dalam bentuk digital dan dapat diakses secara offline dan online seperti dalam media sosial. Bila disebut persuratan Melayu, ia membabitkan aspek kesusasteraan, kebudayaan kesenian, kepustakaan dan akademia Melayu.

Dalam konteks pembangunan bakat, berikut adalah beberapa bentuk impak persuratan berdasarkan beberapa kajian empirikal.

 

  • Jati diri

Sebagai orang Melayu, sastera Melayu dapat memperkenalkan peradaban Melayu (Mohd Taib, 1973) yang dapat memperkukuh jati diri Melayu dan menghasilkan individu Melayu yang berjiwa besar. Genre unik seperti pantun dan nazam sewajarnya menjadi kebanggaan. Karya- karya Melayu yang banyak sarat dengan tasawur Islam juga sewajarnya dibanggakan dan lebih dihargai, bahawa Islam dan Melayu itu hampir sinonim sifatnya.

Sastera dapat membina teras identiti bangsa (Hj. Wahid & Ramli, 2017), kecintaan terhadap negara (Haji Omar, 2015), memupuk dan menyuburkan perpaduan kaum (Swee Tin, 2025). Ringkasnya, sastera berupaya meningkatkan jati diri bangsa dan jati diri agama.

 

  • Berjiwa besar

Anda adalah apa yang anda baca. Bahan bacaan mampu membina jiwa yang besar sekaligus membentuk pemikiran yang positif. Al-Quran dan al-Sunnah telah menjadi asas yang teguh kepada dunia persuratan dan keilmuan umat Islam, lantas berupaya membina peradaban Islam yang gemilang (lihat Rosenthal, 1970). Persuratan yang berasaskan wahyu mampu mencorakkan adab dan pemikiran masyarakat agar lebih sejahtera.

Sehubungan itu, kajian David McClelland terhadap ‘need for achievement’ (keperluan untuk mencapai kejayaan) dalam bacaan dan pemikiran kanak-kanak demi pembangunan sesebuah negara wajar dijadikan tanda aras dan rujukan (McClelland, 2010). Dalam konteks Malaysia, pendidikan sastera khususnya menerusi novel komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu berjaya memupuk dan menyuburkan patriotisme (Maizatul Akma, 2022).

 

  • Kritis dan kreatif

Bahan bacaan yang tepat mampu menyuburkan pemikiran kritis sekali gus merangsang kreativiti dan inovasi, yang antara lain disokong oleh Cimermanova (2023). Unsur sastera Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran mampu memupuk pemikiran kritis (Mohamed, Ali & Kata, 2021)

Sastera misalnya dapat membantu individu melihat dunia dari dimensi yang berbeza, merangsang pemikiran kreatif, dan memotivasi mereka untuk mencipta dan berinovasi. Individu yang kreatif berupaya mencipta produk dan perkhidmatan baru, menyelesaikan masalah, meningkatkan produktiviti, dan membuka peluang perniagaan baru.

 

  • Kesejahteraan sosial (social well-being)

Persuratan yang positif mampu meningkatkan tahap kesejahteraan individu dan sosial (Teravainen-Goff, 2021; Hanauer, 2022), meningkatkan tahap kesihatan mental (Gillam, 2018; Deveney & Lawson, 2021) serta membantu menangani dimentia (Camic et al., 2024). Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM pernah menganjurkan program Global Outreach to Turkiye for Mental Health Matters melibatkan sub-program yang mengenengahkan karya sastera seperti puisi esei mampu berperanan sebagai terapi dan meningkatkan tahap kesihatan mental (Harian Ekspres, 21 April 2025).

 

  • Penguasaan bidang STEM

Pendidik yang kreatif mampu menggunakan pelbagai kaedah kreatif dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Ini termasuklah penggunaan puisi dalam pengajaran biologi di Belanda (Calderón Moya-Méndez & Zwart, 2022) dan juga dalam pengajaran fizik di Greece (Pantidos, Ravanis, Valakas & Vitoratos, 2013), dan masing-masing mempunyai impak yang positif.

 

  • Pelbagai kualiti diri

Penulisan kreatif didapati dapat meningkatkan harga diri (self-esteem) dan efikasi diri (self-eficacy) (Chandler, 1999) di samping dapat meningkatkan kemahiran komunikasi (Ilankumaran & Deepa, 2018).

Sehubungan itu, Hamzah (2025) merumuskan bahawa kesusasteraan Melayu dalam pendidikan formal dapat mengukuhkan jati diri dan identiti bangsa, meningkatkan kemahiran berfikir kritis dan kreatif, memupuk nilai murni dan empati, memperkukuh penguasaan bahasa Melayu, dan melahirkan penulis baharu yang berkualiti lagi prolifik.

 

4.0 KESIMPULAN

Persuratan mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan bakat bersepadu. Diharapkan ia dapat memanusiakan pembangunan ekonomi dan teknologi yang sedang dipacu. Sektor penjagaan kesihatan, pelancongan, dan pendidikan misalnya boleh dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dalam melonjakkan persuratan Melayu khususnya di rantau ini. Tuah (2022) misalnya melihat potensi sastera buat pelancongan budaya di Sarawak, manakala pengantarabangsaan sastera Melayu wajar menjadi agenda (Hamidi & Mohd Ariffin, 2022).

Sinergi Johor-Riau perlu diperkukuh di atas semangat takwa sebagaimana ayat berikut.

“…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…” (Surah al-Ma’idah, 2)

 

RUJUKAN

Abdul Razak, D. (2020). Essay on sejahtera: concept, principle and practice. IIUM Press.

Ashari, R., Syam, A. R., & Budiman, A. (2017, November). The World Challenge of Islamic Education Toward Human Resources Development. In Proceeding of International Conference on Islamic Education (ICIED) (Vol. 2, No. 1, pp. 169-175)

Berita Harian (2025). Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sasar 100 projek        dalam  10                    tahun.         Berita  Harian, https://www.bharian.com.my/bisnes/lain- lain/2025/01/1345981/zon-ekonomi-khas-johor-singapura-sasar- 100-projek-dalam-10-tahun

Brougham, D. & Haar, J. (2018). Smart technology, artificial intelligence, robotics, and algorithms (STARA): employees’ perceptions of our future workplace. Journal of Management and Organization, Vol. 24, No. 2, pp.239–257, DOI: 10.1017/jmo.2016.55.

Calderón Moya-Méndez, N., & Zwart, H. (2022). Science and poetry: poems as an educational tool for biology teaching. Cultural Studies of Science Education, 17(3), 727-743. https://doi.org/10.1007/s11422-022-10118-3

Camic, P. M., Sullivan, M. P., Harding, E., Gould, M., Wilson, L., Rossi- Harries, S., Grillo, A., McKee-Jackson R., Cox S., Stott J., Brotherhood E., Windle G., & Crutch S. J. (2024). ‘Misdiagnosed and Misunderstood’: Insights into Rarer Forms of Dementia through a Stepwise Approach to Co-Constructed Research Poetry. Healthcare, 12(4), 485.

Chandler, G. E. (1999). A creative writing program to enhance self-esteem and self-efficacy in adolescents. Journal of Child and Adolescent Psychiatric Nursing, 12(3),70-78.

Cimermanova, I. (2023). Using Literature to Develop Critical Thinking and Creativity. Inted Proceedings. 497-502. 10.21125/inted.2023.0178.

Deveney, C. & Lawson, P. (2021). Writing your way to wellbeing: An IPA analysis of the therapeutic effects of creative writing on mental health and  the processing       of         emotional difficulties. Counselling and Psychotherapy Research, 1–9. https://doi.org/10.1002/capr.12435.

Dewan Bahasa dan Pustaka (2005). Kamus Dewan (Edisi Keempat).

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gillam,T. (2018). Enhancing public mental health and wellbeing through creative arts participation. Journal of Public Mental Health, 17(4), 148-156. https://doi. org/10.1108/JPMH-09-2018-0065.

Haji Omar, A. (2015). Pendidikan Sastera Remaja di Malaysia dalam Membina Generasi Unggul Berasaskan Falsafah Pendidikan Negara. Jurnal Pendeta. 5. 1-23.

Hamzah, Nordiana (2025). Potensi Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) dalam Pendidikan. Tunas Cipta, 28 Januari 2025. https://tunascipta.jendeladbp.my/2025/01/28/10372/

Hanauer, D.I. (2022). The writing processes underpinning wellbeing: Insight and emotional clarity in poetic autoethnography and freewriting. Frontiers in Communication, 7, https://doi.org.10.3389/ fcomm.2022.923824.

Haynes, Carter. (2009). Holistic Human Development. Journal of Adult Development. 16. 53-60. 10.1007/s10804-009-9052-4.

Hj. Wahid, A., & Ramli, F.N.A. (2017). Sastera Melayu Membina Teras Identiti Bangsa . Rumpun Jurnal Persuratan Melayu, 5(1), 1 – 25. Diakses                     daripada

https://rumpunjurnal.com/jurnal/index.php/rumpun/article/view/ 47

Ilankumaran, M., & Deepa, P. (2018). Teaching Literature Enhances Communication Skills – A Study with Special Emphasis on Poetry. International Journal of Engineering and Technology, 7(3.6), 187-191.

Järlström, M., Saru, E., & Vanhala, S. (2018): Sustainable hu-man resource management with salience of stakeholders: A top management perspective. Journal of Business Ethics, 152, 703– 724.

John, G., Chris, H. & Eric, L. (2009). The emergence of green talent. Business Strategy Review, 20(4), 52–56. DOI: 10.1111/j.1467- 8616.2009.00631.x.

Lapiņ¸a, Inga, L., Gunta, M. & Olga, L. (2013). Holistic Human Resource Management Model towards Sustainable and Sophisticated Business.

Maizatul Akma Aziz (2022). Patriotisme dalam Novel Komponen Sastera Subjek Bahasa Melayu. Tesis PhD Universiti Putra Malaysia.

McClelland, D.C. (2010). The Achieving Society. The Free Press.

Mohamed, R.A.K.; Ali, A.H. & Kata, N. (2021). Unsur Sastera Melayu dalam  Pengajaran  dan  Pembelajaran  di  Sekolah  Rendah

Melahirkan Murid Berfikiran Kritis. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(2), 540-550.

Mohd Taib Osman. 1973. Konsep Kesusasteraan Malaysia Peranan Kesusasteraan dalam Negara yang Sedang Membangun. Asas Kebudayaan Kebangsaan (Editor: Mohd Affandi Hasan). Kementeriaan Kebudayaan Belia dan Sukan.

Pantidos P., Ravanis K., Valakas K., & Vitoratos E. (2013). Incorporating Poeticality into the Teaching of Physics. Science and Education, 23(3), 621-642.

Rosenthal, F. (1970). Knowledge triumphant: the concept of knowledge in medieval Islam. Brill.

Swee Tin, L. (2025). Temubual dengan Datuk Dr. Lim Swee Tin di Johor Bahru pada 8 Mei 2025.

Teravainen-Goff, A. (2021). Beyond words: Writing for wellbeing.

National Literacy Trust.

Thite, M. (2022). Digital human resource development: where are we? Where should we go and how do we go there? Human Resource Development International, 25(1), 87-103.

Tuah, D. (2022) Sastera rakyat daripada perspektif kearifan tempatan dan potensinya kepada pelancongan budaya di Sarawak. Akademika, 92(2), 153-168.

Ulwan, A.N. (2009). Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam (Jilid 1; Penterjemah: Syed Ahmad Semait). Pustaka Nasional.